Thursday, 5 June 2014

NAFKAH ISTERI DAN IBU-BAPA : MANA YANG DIDAHULUKAN?

(Dicopy sekadar pengetahuan)


Soalan :Akum. Sy ada beberapa soalan. 


1. Apakah hukum suami yg selalu mengabaikan nafkah anak isteri kerana mengutamakan 
    keluarganya di kg? - Suami bukanlah anak lelaki sulung @ anak lelaki tunggal.
2. Bolehkah keluarga di kg terutama ibu & ayah meminta duit (terlalu kerap) dari anak 
    lelakinya padahal anak lelakinya jg perlu bertanggungjawab pada anak isteri? 
Ayahnya masih berkerja tetap selalu mengalami masalah kewangan.

Syukran jazilan atas jawapan yg diberikan.

Jawapan;

1. Dalam pemberian nafkah, seorang suami hendaklah mendahulukan isteri dan anak-anak 
dari orang lain (termasuk ibu-bapa). Urutan nafkah adalah seperti berikut :

a) Diri sendiri
b) Isteri
c) Anak
d) Bapa
e) Ibu
f) Cucu
g) Datuk
h) Saudara
i) Ahli-ahli keluarga berikutnya.

Urutan ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang menegaskan; “Mulailah dengan 
diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika 
ada lebihan, maka untuk ahli keluarga kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk begini dan 
begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu” 
(Riwayat Imam Muslim dan an-Nasai dari Jabir r.a.. al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 46). 
Berkata Imam an-Nawawi mengulas hadis ini; di antara kesimpulan dari hadis 
ini ialah; hendaklah pemberian nafkah dimulakan mengikut tertib yang tersebut 
(dalam hadis). 
(Syarah Soheh Muslim, juz 7, Kitab az-Zakah, bab al-Ibtida’ Fi an-Nafaqah Bin-Nafsi 
Tsumma Ahlihi Tsumma al-Qarabah).

Perlu disebut juga di sini bahawa nafkah untuk isteri wajib diberikan oleh suami sekalipun 
isteri kaya dan berada. Suami yang gagal memberi nafkah sewajarnya kepada isterinya 
-mengikut kemampuannya- ia dianggap berhutang dengan isterinya kecualilah jika 
isteri menggugurkan haknya dengan kerelaannya sendiri. Begitu juga, isteri boleh menuntut 
fasakh di atas kegagalan suaminya memberi nafkah.

Adapun nafkah kepada orang lain selain isteri, ia tidak wajib melainkan apabila memenuhi
dua syarat;

a) Mereka adalah miskin, tidak memiliki harta dan tidak mempunyai sumber pendapatan. 
Jika mereka mempunyai harta atau memiliki sumber pendapatan sendiri, tidaklah wajib 
lagi ia menyara mereka. Namun digalakkan ia meneruskan pemberiannya kepada 
mereka untuk mengekal kasih sayang dan silaturrahim.

b) Ia mempunyai kemampuan untuk menanggung mereka; sama ada dengan hartanya
 atau dengan sumber pendapatannya. Kemampuan ini merangkumi kos saraan untuk diri 
sendiri dan isteri. Jika ada lebihan (setelah ditolak keperluan diri dan isteri), barulah ia wajib 
menyara ahli-ahli keluarga yang lain.

Merujuk kepada soalan di atas, tidak harus suami mengabaikan nafkah kepada isteri dan 
anak-anak dengan alasan ingin membantu ibu-bapa di kampung kerana menafkahi isteri 
dan anak-anak adalah wajib. Jika benar ibu-bapa memerlukan nafkah darinya, ia hendaklah
menafkahi mereka tanpa mengabaikan isteri dan anak-anak. Itupun jika ia mampu menampung 
semua mereka. Jika tidak, hendaklah ia mendahulukan isteri dan anak-anak. 

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi.
2. Manar as-Sabil, Ibnu Dhuyan.

No comments:

Post a Comment